<!-- --><style type="text/css">@import url(https://www.blogger.com/static/v1/v-css/navbar/3334278262-classic.css); div.b-mobile {display:none;} </style> </head> <body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8474564113195893538\x26blogName\x3dwhen+I\x27m+on+queue\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dSILVER\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://fahamokha90.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://fahamokha90.blogspot.com/\x26vt\x3d2843336287746015661', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

authorchatlinksarchivesgallery


Friday, April 29, 2016
193. I Left My Heart In Haramain 1 @ Friday, April 29, 2016

0 note (s)

Rindu.

Ya, saya tahu saya perlukan sedikit masa lagi untuk menghadam rasa rindu yang mengebu pada Tanah Haram - kedua-duanya sekali, Makkah dan Madinah. Mungkinkah rindu ini akan bertahan untuk tahun-tahun berikutnya atau mungkinkah rindu ini akan pudar digaul dosa-dosa baru saat kaki kembali menjejak ke tanah air? Apa yang pasti, saat air mata ini mengalir, saya amat merindukan suasana asing dalam hiruk-pikuk warga Tanah Haram beribadah, dan segala macam aktiviti ibadah luar biasa yang mungkin tak mampu saya lakukan di bumi bertuah Malaysia kita ini. 

Tanggal 3 April yang lalu, Alhamdulillah saya, ayah, ibu dan kaklong diberi peluang menerima jemputan Yang Paling Agung untuk beribadat di rumahNya, Baitullah Al-Haram. Usai pulang dari menunaikan umrah, ada rasa rindu yang pelik ini menyebabkan saya mahu menulis. Tak pernah terlintas yang saya bakal bermusafir di bumi Anbia sebegini muda. Saya akui, saya pernah menulis mahu ke Makkah usai tamat belajar, dua tahun kemudian dengan iman yang masih turun naik grafnya, tak pernah stabil,  Dia kabulkan jua. Diberinya saya kesempatan untuk menerima jemputan sebegini prestij, hanya air mata memohon ampun yang mampu saya alirkan. Diterimakah saya di Tanah Haram nanti? Itu antara yang kerap saya risaukan, tak termasuk lagi imbauan dosa-dosa kecil besar, terlindung dan yang nyata, bayangannya datang tak henti-henti. Ketakutannya umpama bertemu Tuhan di Padang Mahsyar: Faridah Hanim, syurga atau neraka?

Empat bulan sebelum tarikh penerbangan, saya isikan masa dengan menghadiri kursus dan pelbagai acara spiritual, antaranya saya menghabiskan dua buah buku Sirahtun Nabi, Sirah Junjungan Besar Rasulullah. Kerana mahu benar-benar faham, mahu benar-benar menangis, mahu benar-benar berterima kasih pada Rasulullah saat saya berjirankan Baginda nanti, InsyaAllah. Dalam cemas, saya masih teruja memikirkan bakal menziarahi tiga sahabat terbaik Rasulullah merangkap barisan Khalifah Ar-Rasyidin di Madinah nanti. 

3hb April 2016 - Penerbangan dari KLIA dengan menaiki MAS MH8012 berlepas ke Jeddah pada pukul 10.15 pagi. Kami tinggalkan Jeehan dan Imeen dengan doa agar mereka dijaga oleh Allah sebaiknya. Kumpulan kami terdiri dari 45 orang ahli termasuklah seorang Mutawwif, Haji Yusof dan pelatih muda Mutawwif, yang kami panggil Din. Pengalaman menaiki penerbangan umrah selama 9 jam disewa khas oleh Tabung Haji memang satu pengalaman yang sangat menarik, selain dari penumpang yang memakai pakaian ihram dalam pesawat, kami diimamkan doa oleh krew pesawat, yang juga mengingatkan penumpang agar berniat ihram di Miqat (sempadan Tanah Haram) bagi yang turun di Makkah dahulu, sejam sebelum  kapal terbang mendarat di Jeddah. Sayup-sayup dibaca, talbiah, Labbaikallah humma labbaik, HambaMu datang menyahut panggilanMu Ya Allah. Perasaan pada waktu itu? Indescribable. 

Kaki saya akhirnya terjejak juga di tanah Arab, usai mendarat solat jamak Zuhur dan Asr terus kami selesaikan di lapangan Haji/Umrah yang disediakan pihak kerajaan Saudi demi kemasukan jemaah yang setiap tahun semakin meningkat. Masa senggang menunggu bas pengangkutan masuk ke Kota Makkah digunakan untuk bersuai kenal dengan jemaah kumpulan yang sama. Saya kira, agak ramai juga anak muda seusia kami yang menemani ibu bapa menunaikan fardu umrah. Ada yang semuda 6 tahun, adik Afiq Haziq yang aktif dan petah berbicara, ibunya bilang, sebelah mata anak itu hampir 90% buta dizalimi pengasuh sendiri. Ya Allah, moga dugaan ini menjadi asbab beroleh syurga. Sepasangan pengantin baru ditemani ibu masing-masing bersama menganggotai kumpulan jemaah kami. Alhamdulillah saya kira jemaah kami sangat mesra dan seperti keluarga sendiri. Kira-kira pukul 6 lebih, kami mulai meninggalkan lapangan terbang antarabangsa Jeddah, saya duduk di sisi tingkap bas cuma berdoa di dalam hati, permudahkan urusanku di Tanah HaramMu Ya Allah.

Pesisiran lebuhraya di Saudi amat berbeza pemandangannya dengan Malaysia, tentu sekali kerana landskap padang pasirnya memainkan warna yang utama. Sambil Mutawwif memberi sedikit sebanyak peringatan dan jadual selama beberapa hari di Makkah, rasanya hampir satu bas kami ber-uuu, dan beraaa-aah, melihat pemandangan merah brick padang pasir di Jeddah. Menghampiri Isyak, Menara Jam Besar Makkah akhirnya dalam penglihatan, Tanah Haram telahpun kami masuki. Selama seminggu ini, jemaah kumpulan berkampung di hotel kecil Barakah Mawaddah, kira-kira 400 meter dari Masjidil Haram. Usai solat jamak dan menjamah sedikit makanan, kami berkumpul bersama Mutawwif untuk menyempurnakan perkara utama kami iaitu Umrah Wajib. 

Melihat Kaabah.

Buat kali pertamanya, serasa seperti menonton di peti televisyen. Sambil bahu disenggol jemaah Asia Tengah dengan cubaan tarik menarik, sambil mata cuba memberi seribu satu fokus pada arahan Mutawwif di hadapan yang mahukan jemaah membaca doa kali pertama melihat Kaabah, sambil fikiran cuba menghadam rasa sebal apa di dada ini. Mimpikah aku? Ia besar, dan mengagumkan. Bukanlah objek sembahan, cuma simbolik penyatuan sujud bagi umat Islam. Tetapi ianya berdiri megah dari zaman Ibrahim a.s, pasti akan terbit rasa kagum SubhanAllah; kerana arah sujudku kini di depan mata. Ada berkah tiap kali memandangnya.

Pusingan tawaf kami kerjakan di lapangan tingkat kedua memandangkan dataran Kaabah penuh dengan bilangan jemaah berganda-ganda mengelilinginya, musim hajikah ini? Separuh pusingan, kami diberi ujian pertama: Mutawwif terhalang oleh hadas, dan perlu keluar barisan, lalu kumpulan hadapan terkontang-kanting menerajui jalan. Mujur ada yang berpengalaman, menjadi penganti penunjuk arah. Saya benar-benar menikmati pengalaman bersa'i dari Safa ke Marwah, mungkin kerana perjalanannya lebih selesa, tidak terlalu sesak dengan jemaah. Ironinya, disinilah Siti Hajar berlari-lari separuh mati mencari air buat si kecil Ismail di padang pasir panas terbentang. Ya Allah :(

Terlalu banyak yang saya mahu nukilkan untuk pengalaman pertama saya melakukan umrah buat ingatan di masa hadapan. Saya menangis buat kali pertamanya ketika berdoa di belakang Maqam Ibrahim, berbaur-baur perasaan, malu jika terlihat orang, tetapi perasaan berdosa mengatasi segalanya.  Umrah wajib kami tamatkan sekitar 1.30 pagi dan tidak, Makkah tidak pernah tidur sayang, kami tinggalkan Kaabah yang masih penuh dengan jemaah dengan janji mahu bertawaf di datarannya keesokan hari.




Labels:


Older | TOP | Newer

P/S
☆彡☆彡☆彡


001_23

You've read my thought. If only I can read yours..