<!-- --><style type="text/css">@import url(https://www.blogger.com/static/v1/v-css/navbar/3334278262-classic.css); div.b-mobile {display:none;} </style> </head> <body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8474564113195893538\x26blogName\x3dwhen+I\x27m+on+queue\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dSILVER\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://fahamokha90.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://fahamokha90.blogspot.com/\x26vt\x3d2843336287746015661', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

authorchatlinksarchivesgallery


Wednesday, March 22, 2017
203. Pencinta Perjalanan: Surabaya ke Jakarta 2 @ Wednesday, March 22, 2017

0 note (s)

[Read first: Pencinta Perjalanan: Surabaya ke Jakarta 1]

Sejuk pagi menjamah tubuh di pergunungan Tengger, pemandu jip kami memandu laju meredah kegelapan lereng-lereng gunung menuju ke Penanjakan. Kami duduk terdiam menahan kantuk yang masih tidak hilang. Aku berlebih-lebih lagi, tidur ayam-ayam menyebabkan kepalaku berdenyut sedikit. Melintasi patung-patung dewa Hindu yang terletak di beberapa selekoh tajam, pemandu kami memperlahankan jip dan membunyikan hon simbolik tanda hormat. Dari situ, aku pasti dia seorang penganut Hindu. Mendengar suku Tengger, umumnya majoriti mereka adalah penganut agama tersebut. Suku kaum ini yang dikatakan sisa penduduk kerajaan Majapahit yang menolak agama Islam di Pulau Jawa. Ketika Islam berkembang pesat di sini, penganut agama Hindu yang enggan bertukar pegangan, berpindah ke dua tempat, iaitu Pergunungan Tengger dan juga di Pulau Bali.  

Kami antara yang terawal tiba di Penanjakan. Hujan mulai turun renyai-renyai. Oh iya, waktu terbaik untuk mengunjungi Bromo adalah pada bulan Julai hingga September. Musim kemarau, mereka bilang pemandangannya tidak dilitupi kabus tebal. Oleh kerana kami datang pada bulan Januari, aku menerima hujan yang sudah dijangka turun ini apa adanya. Suhu semakin mendingin. Izzat menyuluh lampu, teragak-agak mahu memulakan pendakian di Penanjakan. Tidaklah terlalu tinggi tetapi suku perjalanan, kami berpatah balik. "Lebih baik solat Subuh di musholla bawah dahulu." ujar Izzat. Kami berlima berhimpit di celahan pengunjung tempatan yang mahu bersolat di sebuah bilik kecil yang sempit (betul-betul sardin!). Air wudhunya kami ambil di tandas berdekatan, yang dingin seperti berwudhu' ais (ditulis separa sedar). Aku sudah lupa tarif tandas di kaki gunungnya bagaimana, tetapi lebih kurang RM1.00 duit Malaysia. Ada unggun api yang dihidupkan penduduk di sana, bau gasolin sangat kuat, dan lebih ramai pengunjung tiba dengan menaiki jip. Ajaib memikirkan entah kebaikan apakah yang aku lakukan untuk mengalami sebegini pengalaman. Terima kasih ya Allah. Senyuman terukir dibibirku dalam gigil yang semakin mencengkam.

Penanjakan mendekatkan kami dengan langit subuh. Seharusnya pagi subuh itu kami ditemani taburan bintang-bintang bergemerlapan di langit Bromo. Tetapi apa yang terjadi, angin bertiup kencang, kami bagaikan anak-anak ayam yang sibuk mengibas-ngibas kepaknya yang kebasahan. Hujan masih renyai, terlihat beberapa pemuda Indonesia yang solat di tempat terbuka. Ah, alangkah indahnya jika bateri kemeraku bertahan paling kurang hingga ke hujung pendakian kami. Warna merah tanda kuasanya berkurang membimbangkan aku. Dan matahari tidak terbit membulat, hanya fajar kemerah-merahan yang dapat dilihat. Lebih sayu (haha!), kabus di kaki Bromo tidak beredar malahan semakin tebal. Beberapa pengunjung terlihat mengabadikan momen berlatarkan kabus tebal, awan bergulung mengantikan pemandangan spektakular yang sepatutnya dapat kami lihat dari Penanjakan: 

https://en.wikipedia.org/wiki/Bromo_Tengger_Semeru_National_Park
Mengikut putaran jam dari bawah kiri: Kuil Hindu Poten, Gunung Berapi Bromo yang berasap, Gunung Semeru yang meletus dan Gunung Batok.

Bromo memang selalu cantik seperti ini, dan walaupun dalam musim hujan, aku masih positif untuk dapat melihat sendiri keindahan alam ciptaan Allah swt ini. Perlahan-lahan kami menuruni Penanjakan, jip sudah sedia menanti. Destinasi seterusnya yang lebih seru: Melintasi lautan pasir! Pemandu jip bertanyakan jika ada yang mahu melewati lautan pasir dengan menunggang kuda. Jeda, kerana masing-masing tidak pasti tahap ketahanan diri. Aku membalasnya, "Tak perlu mas, kami boleh berjalan." Dia hanya tersenyum, "250 anak tangga, bisa?" Waduh pasti bisa. Suku pertama melintasi lautan pasir, Fizah mohon berundur. Dia sudah tidak tahan, dia mahu terus menunggang kuda. (betul-betul kuda dewasa! Berdiri di sebelah kuda, aku berasa seperti Hobbit) Aku dan Kana menolak sewaktu diajak, pemilik kuda tidak putus-putus asa mencuba menawarkan harga terbaik. Hati-hati ketika berunding harga, kerana tarifnya boleh berubah sesuka hati mengikut bicara pemilik kuda. Puratanya mencecah RM50.00 pergi dan balik, tak berbaloi, getus hatiku. Izzat, Lan dan Farhana sudah jauh di depan. Kadang-kadang aku berhenti seketika, mengetik picu kameraku, kabur-kabur lensanya ditutupi kabus gunung. Gunung Batok yang terletak berdekatan Bromo tinggi menghijau, rasanya ramai yang tersilap menyangka Batok adalah Bromo.  

Hujan masih turun renyai-renyai ketika kami tiba di kaki anak tangga Gunung Bromo, separuh pendakian mengambil masa lebih kurang 20 minit jika tidak lama berhenti. Ya, Kana dan aku asyik berhenti. Semulajadinya, kami yang paling lewat tiba di kaki tangga. Izzat berbisik, pendakian Bromo ini tak seperti yang dijangka. (Jangkaan: Sempoi-sempoi saja.) Kami kerap terbatuk-batuk, bau sulfur yang maha kuat menggigit pancaindera, angin kencang sekali-sekala menyapa dan jalan pendakian yang licin bergabung dengan hujan bulan Januari, apakah ini? Suhu mungkin sudah mencecah nombor negatif di kaki tangga Bromo, tetapi apa yang menarik, tersedia warung-warung minuman panas yang betul-betul mencabar nafsu. Mahu sahaja aku menyinggah sebentar, kalau tidak kerana kekangan masa. Kana kelihatan sudah separuh daya memaksa dirinya mendaki. Ini pendakian pertama Kana, terkadang aku dihimpit rasa bersalah, kalaulah aku tidak terlalu memaksanya, mungkin dia sudah memilih menunggang kuda dari awal perjalanan. Kami mulai mendaki anak tangga yang licin dan penuh dengan pengunjung lokal dan antarabangsa. Kedengaran masing-masing memberi moral support kepada rakan terdekat, aku tidak ketinggalan. Beberapa kali aku menggumam, "Kana, kamu pasti boleh!" Ada sahabat dari Malaysia (yang aku pasti dari loghat familiarnya; yang pasti tidak akan ditemui lagi di Malaysia) tidak habis-habis ketawa, menggelakkan diri sendiri yang datang ke Bromo tanpa persiapan. Dia hanya berselipar. Tambahnya lagi, "Tak sangka Bromo boleh jadi sebegini mencabar." Benar, Bromo di bulan Januari benar-benar mencabar bagi amatur seperti kami. Aku tersenyum apabila terdengar beberapa orang Mat Saleh yang keputusan asa di anak tangga. "What do you see on the top of Bromo?" "Nothing, just a thick smoke of sulfur, you can see absolutely nothing of the bottom!" Tudungku kebasahan air, warga lokal mengajar kami sesuatu: kain yang kebasahan itu ditekapkan di muka sekali-sekala. Terlalu banyak menyedut udara bersulfur boleh membahayakan kesihatan. Lebih kurang 15 minit bergelandangan di anak tangga, kami berenam akhirnya tiba di puncak kawah Bromo. Perasaannya, majestik. Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan asap gunung berapi yang tebal berebut-rebut memasuki ruang paru-paruku. Kawah Bromo ternyata masih aktif, malahan ada acara keagamaan Hindu yang mengorbankan haiwan ternakan setiap tahun dirayakan di bibir kawah ini. Pemandangan di bawah lebih mengagumkan, jip-jip yang ditumpangi kelihatan seperti kereta-kereta permainan, berwarna-warni di kelilingi lautan pasir. Tebing-tebing Penanjakan Tengger tampak kehijauan. Sesungguhnya benar sekali, kami ini sedang berada di dalam sebuah kawah gunung berapi purba! SubhanAllah.  

Kami mencerut dahsyat, bau sulfur ini seperti belerang yang terbakar. Tak lama kami di kawah Bromo, ternyata menuruni gunung ini mudah sekali. Tak sabar mahu menyedut udara yang sejuk bersih di bawah sana, menjadi motivasi terbaik. Sekali-sekala, larian kami lebih kepada mengelak najis kuda yang banyak berterabur di sana-sini. Farhanah berhenti sejenak di gerai menjual barangan cenderahati (lebih kurang gerai di pasar lambak) dan kami mula tawar-menawar harga untuk 6 helai baju buat kenang-kenangan. Destinasi seterusnya, jip meluncur laju menuju ke Bukit Teletubbies, Pasir Berbisik dan beberapa tempat di keliling Bromo yang berbaloi untuk sesi fotografi. Hujan renyai sudah lama berhenti, tetapi angin kencang masih sekali-sekala menyapa. Aku menarik nafas, tersengih sendiri, tempat sejuk indah seperti ini: pasti akan dirindui.

Iklan: Aku mahu ke Ijen! Dan Kinabalu. Sesiapa mahu menyertai kumpulan pendaki yang kadang lambat dan sederhana ini, silalah email ke fhanimkhalim@icloud.com haha.

Kerana kami mendaki tanpa mengambil sarapan, (digalakkan membawa coklat sebagai ganti makanan berat), semua mengadu kelaparan dan bersetuju untuk membatalkan ekspedisi ke Air Terjun Madakaripura, tambahan pula semuanya betul-betul keletihan dari aktiviti lasak pagi itu. Perutku kembali memulas-mulas, terasa mual apabila berada di dalam kenderaan. Entah kenapa agaknya, mujur ketika di puncak Bromo aku tidak memuntahkan isi perutku ke dalam kawah gunung berapi. Aku pejamkan mata, sambil berfikir, jika aktiviti ke Madakaripura akan diteruskan, aku mungkin akan memberi alasan untuk mengundur diri. Walaupun begitu, sedikit rasa terkilan kerana tidak berkesempatan singgah ke tair terjun yang dikatakan tertinggi di Pulau Jawa itu. Kami singgah ke sebuah restauran menjual nasi ayam penyet (sekali lagi), berehat sambil terus menunaikan solat jamak. Masing-masing sudah kelihatan lemah longlai. Makanan juga kelihatan sudah tidak menyelerakan. Sekurang-kurangnya, Izzat, Lan, Fizah dan Farhanah akan terus menuju pulang ke lapangan terbang, sedang kami berdua, aku dan Kana masih mempunyai 2 hari lagi yang bakal penuh dengan pertualangan. Kadang terfikir, ingin terus membatalkan hasrat ke Kota Malang dan terus balik Kuala Lumpur. Keletihan memang membunuh, bukan begitu? Aku mengingatkan pak supir sekali lagi agar menurunkan kami ke terminal bas berdekatan untuk terus ke Kota Malang.

Namun begitu, perkara yang tidak dijangka berlaku. Rupa-rupanya van cuma diberhentikan di bahu jalan, dan pak supir cuma menahan bas ke Malang secara rawak. Mujurlah semua barang-barangku berada dalam keadaan yang kemas, laluku kejutkan Kana yang masih terlentok, dan kami terjun (betul-betul terjun) dari pintu van berlari ke bas henti-henti di bahu jalan. Aduh, gawat. Aku langsung tak berkesempatan mengucapkan terima kasih dan selamat jalan kepada rakan-rakan sepetualangan kami di bumi Bromo. (hanya melalui aplikasi Whatsapp, itupun setelah mendapat sambungan internet). Yang aku tahu, bas itu penuh dengan warga lokal yang mahu ke Malang, dan aku terjerit-jerit meminta pemandu bas menunggu Kana sebentar. Jika difikirkan kembali, memang lucu saat itu. Ya, wajahku memang asli Malaysia, tidak jauh beza dengan penduduk asli Indonesia, makanya aku tidak langsung diberi perhatian khusus. Tiada apa yang menarik, melainkan beza lipatan jilbabku (haha!) dan beg sandang yang besar menjulang. Tetapi Kana, sahabatku Indiaku itu benar-benar selebriti pada saat itu. Hampir kesemua di kerusi duduk belakang melihat kami, ternyatalah mereka menyangka jika Kana itu asalnya benar-benar dari India. Hampir 45 minit perjalanan tanpa tempat duduk, dan aku terus bersabar mengatakan tidak kepada pengamen (pemain gitar jalanan yang tiba-tiba muncul menyanyi di dalam bas) dan penjual kacang, tempe goreng dan bermacam-macam makanan ringan.  

Bas masih penuh ketika kami melintasi Lawang (nama tempatnya diteka-teka sahaja) tetapi aku akhirnya mendapat tempat duduk di sebelah seorang pemuda yang asyik mendengar muzik di headphonenya. Kelihatan dia seperti mahu ke tempat kerja, lalu fikiranku melayang ke tanah Malaysia. Apa khabar dengan kerjaku setimbun di atas meja? Padahal jika difikirkan kembali, aku cuma baru semalam di sini. Ternyata hidup nomad sebegini memanjangkan waktu. Pemuda itu cuma berdiam diri. Aku apatah lagi walaupun sebenarnya berbolak-balik hati mahu bertanya sesuatu. Bas menghampiri kota Malang, aku keresahan memikirkan di mana bas ini akan berhenti. Terminal Bas Arjosari. Beberapa kali aku sebutkan dalam hati. "Maaf, bas ini berhenti di Arjosari ya?" Aku memulakan bicara. Ternyatalah sisi introvertku berjaya dikalahkan sebentar. "Ya, mahu ke sana ya?" Aku mengangguk. Awalnya aku tidak mahu memberitahu jika aku ini asalnya dari tanah seberang, bimbang atas keselamatan diri. Tetapi kerana loghatku yang nyata berbeza, dia pasti dapat meneka. Pemuda ini sangat membantu, dia menyangka aku ke sini ke keseorangan, lalu ku jelaskan aku ke sini bersama beberapa teman mahu bertemu teman di Kota Malang. Dia kelihatan kagum entah kenapa, dan bersemangat membantu sehingga aku turun dari bas. Dan dari informasi pemuda tersebut dan bantuan dari seorang makcik yang duduk di sebelah Kana (yang bertanyakan Kana jika anaknya mampu menyambung pelajaran di Malaysia atau tidak) kami menahan sebuah angkut, katanya langsung terus ke Stasiun Keretapi Malang. Dari situ, kami menapak masuk ke barisan kaunter sambil berdoa tiket kereta api masih ada. Stasiun di waktu petang masih penuh dengan orang ramai. Letih juga menjadi perhatian, mata-mata memandang kami semacam aku ini lokal yang membawa temannya seorang artis.

Jeda sebentar. Petugas di kaunter baru memberitahu kami, "Tiket ke Jakarta dari Malang sudah habis kesemuanya mbak."

[bersambung]

Labels:


Older | TOP | Newer

P/S
☆彡☆彡☆彡


001_23>

You've read my thought. If only I can read yours..